Satu perkongsian yang cukup menarik saya kira
sebagai seorang isteri yang masih baru mengenal perkahwinan
ilmu perlu digali sehingga ke akhir hayat kita
Kasihku, bawaku ke syurga yang abadi
* * * * * * * * * * * * * *
Dalam
satu program wanita, seorang ibu berumur lewat usia 40-an berbual mesra
sambil bertanya kepada saya: "Diam tak diam, saya dah nak dapat menantu
lelaki. Along Hasanah akan berkahwin bulan depan, kita ni terlalu sibuk
dengan kerjaya dan kehidupan, sehingga tidak perasan anak dah semakin
besar dan akan berumah tangga."
Saya membalas : "Kita perlu mengingat dan membekalkan nasihat yang
pernah kita peroleh dulu daripada orang berpengalaman dan berilmu kepada
mereka.
"Dulu pernah mendengar, pada masa mula-mula hendak kahwin. Tetapi,
apa salahnya kita dengar untuk kesekian kalinya. Ia menjadi kata-kata
hikmat dan pengajaran yang lebih bermakna. Kita dan ramai kawan masa
muda-muda masih ingat nasihat itu."
Perbualan saya dengan wanita itu mengingatkan kepada wasiat seorang ibu solehah pada zaman kegemilangan Islam.
Mari hayati pesanan isteri 'Auf bin Muhlim Ashaibani kepada puterinya
ketika hendak bernikah dengan al Haris bin Amr, raja negeri Kandah.
Sewaktu utusan diraja hendak membawa pengantin untuk disampaikan kepada
raja, ibunya berwasiat kepada anak perempuannya:
"Wahai anakku! Kalaulah wasiat ini untuk kesempurnaan adabmu, aku
percaya kau telah mewarisi segala-galanya, tetapi ia sebagai peringatan
untuk yang lalai dan pedoman kepada yang berakal.
Andai kata wanita tidak memerlukan suami kerana berasa cukup dengan
kedua ibu bapanya, tentu ibumu adalah orang yang paling berasa cukup
tanpa suami. Tetapi wanita diciptakan untuk lelaki dan lelaki diciptakan
untuk mereka.
Wahai puteriku, Sesungguhnya engkau akan meninggalkan rumah tempat
kamu dilahirkan dan kehidupan yang telah membesarkanmu untuk berpindah
kepada seorang lelaki yang belum kamu kenal dan teman hidup yang baru.
Kerana itu, jadilah 'budak' wanita baginya, tentu dia juga akan menjadi
'budak' bagimu serta menjadi pendampingmu yang setia.
Peliharalah sepuluh sifat ini terhadapnya, tentu ia akan menjadi perbendaharaan yang baik untukmu.
Pertama dan kedua, berkhidmat dengan rasa puas serta taat dengan baik kepadanya.
Ketiga dan keempat, memerhatikan tempat pandangan matanya dan bau yang diciumnya. Jangan sampai matanya memandang yang buruk daripadamu dan jangan sampai dia mencium kecuali yang harum daripadamu.
Kelima dan keenam, memerhatikan waktu tidur dan waktu makannya, kerana lapar yang berlarutan dan tidur yang terganggu dapat menimbulkan rasa marah.
Ketujuh dan kelapan, menjaga hartanya dan memelihara kehormatan serta keluarganya. Perkara pokok dalam masalah harta adalah membuat anggaran dan perkara pokok dalam keluarga adalah pengurusan yang baik.
Kesembilan dan kesepuluh, jangan membangkang perintahnya dan jangan membuka rahsianya.
Apabila kamu tidak mentaati perintahnya, bererti kamu melukai hatinya.
Apabila kamu membuka rahsianya kamu tidak akan aman daripada
pengkhianatannya.
Kemudian janganlah kamu bergembira di hadapannya ketika dia bersedih
atau bersedih di hadapannya ketika dia bergembira. Jadilah kamu orang
yang sangat menghormatinya, tentu dia akan sangat memuliakanmu.
Jadilah kamu orang yang selalu sepakat dengannya, tentu dia akan sangat belas kasihan dan sayang kepadamu.
Ketahuilah, sesungguhnya kamu tidak akan dapat apa yang kamu inginkan
sehingga kamu mendahulukan keredaannya daripada keredaanmu, dan
mendahulukan kesenangannya daripada kesenanganmu, baik dalam hal yang
kamu sukai atau yang kamu benci dan Allah akan memberkatimu."
Nasihat di atas seharusnya diterima dengan beberapa asas penting:
- Suami yang dicari adalah suami yang beriman lagi taat kepada perintah Allah.
- Ketaatan kepada suami adalah wajib dengan syarat beliau tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan syariat Allah.
- Begitulah hukum Allah, di sana sentiasa ada 'dua bahagian muka syiling'. Kalau diperhati setiap nasihat di atas, perbuatan kita yang positif akan menghasilkan reaksi dan tindak balas positif juga dengan izin Allah.
Saya sering mengingatkan diri sendiri sebagai isteri dari muda hingga sekarang dan masih sangat mempercayai bahawa:
"Kita hanya boleh mengubah diri sendiri. Percayalah
apabila kita berubah, persekitaran dan orang di sekeliling juga akan
berubah secara positif."
No comments:
Post a Comment